Gambar : Instagram Neelofa
Akhirnya hajat Neelofa yang terpendam sejak awal tahun ini akan tercapai tidak lama lagi. Pelakon dan pengacara ini bakal terbang ke kota Mekah pada 5 September depan bersama kedua-dua ibu bapanya untuk menunaikan haji.
“Sejak awal tahun ini, saya menyimpan niat untuk menunaikan haji dan berharap ia dimakbulkan Allah. Alhamdulillah, tidak sangka semua urusan dipermudahkan dan impian itu akhirnya menjadi kenyataan. Saya hanya berdoa semua urusan saya di sana nanti akan berjalan lancar dan mendapat keredaan Allah,” katanya kepada BH Online.
Neelofa amat bersyukur dengan kesempatan ini kerana dirinya tidak langsung menjangka yang ia boleh termakbul secepat ini. Meskipun sedang teruja untuk ke sana nanti, tidak dinafikan yang Neelofa turut berasa gementar kerana ini merupakan kali pertama dirinya untuk mengerjakan haji.
“Sebelum ini, saya pernah dua kali ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Pasti saya gembira dapat kembali ke sana sebagai tetamu Allah, malah lebih bermakna kerana saya ke Makkah untuk menunaikan Rukun Islam kelima. Saya rindu suasana tenang dan damai setiap kali beribadah di Tanah Suci. Saya hanya mampu berdoa supaya perjalanan saya kali ini dipermudahkan. Saya tidak tahu apa ujian yang akan diberikan Allah nanti. Saya sentiasa mengingatkan diri setiap apa juga dugaan Allah adalah untuk membawa saya lebih dekat kepada-Nya. Apa yang penting, saya perlu lakukan persiapan mental,” katanya lagi.
Neelofa dijangka bakal menunaikan haji sehingga 20 September. Pelakon jelita ini juga turut akan berdoa semoga dirinya mendapat jodoh yang yang baik dan secepatnya, selain berdoa akan keberkatan atas kehidupannya.