Oleh : Farhana Fuad
Gambar : IKEA
Berita gembira buat warga Johor! IKEA secara rasminya hari ini memulakan pembinaan gedung perabot pilihan ramai itu di Jalan Desa Tebrau, Johor Bahru. Acara perasmian tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Datuk Ismail Bin Ibrahim, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), bagi pihak Yang Amat Berhormat Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin, Menteri Besar Johor.
 
Gedung perabot ke-3 IKEA ini dijangka pembukaannya pada hujung tahun 2017 dengan keluasan 46,713 meter persegi. IKEA Tebrau ini bakal direka dengan semua ciri-ciri seperti mana yang kita lihat di IKEA Mutiara Damansara dan IKEA Cheras.
Ia bakal dihiasi dengan ruang pameran rumah, taman permainan untuk kanak-kanak, rak penyimpanan produk yang dibungkus dan semestinya restoran IKEA yang digemari ramai.
IKEA Tebrau juga bakal merangkumi sebuah pusat beli-belah yang diselia oleh IKEA sendiri. Bahkan, IKEA punya perancangan untuk memperluaskan lagi cawangannya di Pulau Pinang pula pada tahun 2018.