Selera fesyen Nur Fazura sememangnya luar biasa. Lihat saja Instagram miliknya, mata anda pasti tertarik pada setiap pilihan beg tangan yang digayakannya dengan penuh bergaya, mencerminkan ‘kelas tersendiri’ Fazura dalam berfesyen.
Dalam dunia fesyen tempatan, nama Fazura memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Sebagai seorang pelakon, model, dan usahawan, Fazura sering mencuri perhatian bukan sahaja dengan bakat dan personalitinya yang menawan tetapi juga dengan gaya fesyennya yang versatil dan mewah. Salah satu yang menonjol dalam fesyen fazura adalah koleksi tas tangan mewahnya yang menjadi inspirasi buat ramai pencinta fesyen di luar sana.
Melihat penampilannya yang sering tampil eksklusif, tidak hairanlah mengapa dia kerap menggayakan tas tangan dari jenama mewah seperti Hermés. Koleksi Hermés miliknya bukan sahaja menyerlahkan kemewahan, tetapi juga membuktikan betapa tingginya citarasa fesyen Fazura. Setiap pilihan yang digayakan olehnya jelas menunjukkan bahawa dia benar-benar memahami apa yang digayakannya—she knows what she wears!
1. Hermés Kelly Pochetta Ostrich Leather
Hermés Kelly Pochetta Ostrich Leather yang dimiliki oleh Fazura adalah salah satu beg tangan ikonik yang sentiasa menjadi idaman para pencinta fesyen. Diperbuat daripada kulit ostrich, pilihan warna coklat yang klasik dan elegan membuatkan beg ini sesuai dipadankan dengan pelbagai gaya, dari kasual hingga ke acara mewah. Fazura pernah menggayakan Kelly Pochetta Ostrich Leather ini di Kuala Lumpur Fashion Week 2023, memperlihatkan betapa versatil dan anggunnya beg ini dalam melengkapkan penampilannya.
2. Hermés Lindy
Hermés Lindy merupakan satu lagi koleksi mewah yang kerap digayakan oleh Fazura. Berbeza daripada reka bentuk tas tangan Hermés yang lain, Lindy hadir dengan rekaan yang lebih kasual namun tetap mengekalkan aura kemewahan. Tas tangan ini menawarkan ruang yang luas dan praktikal, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mengutamakan fungsi tanpa mengorbankan gaya. Fazura sering dilihat menggayakan Lindy dalam penampilan yang lebih santai, terutamanya dalam pilihan warna hitam yang menambahkan sentuhan elegan pada setiap gayanya.
3. Hermés Kelly En Desordre
Tas tangan Hermés Kelly En Desordre yang dimiliki Fazura memaparkan reka bentuk yang lebih unik dan moden, berbanding dengan model Kelly yang lebih klasik. Dengan elemen desain yang lebih eksperimental, tas tangan ini menarik perhatian ramai dengan bentuknya yang asimetrik. Kelly En Desordre adalah pilihan yang tepat bagi mereka yang berani tampil berbeza dan ingin menonjolkan karakter dalam penampilan mereka. Fazura menggayakan tas tangan ini untuk melengkapkan gaya yang lebih edgy dan kontemporari, membuktikan dia sentiasa di hadapan dalam dunia fesyen.
4. Hermés Constance 18 Ostrich
Hermés Constance 18 Ostrich adalah salah satu tas tangan paling eksklusif dalam koleksi Fazura. Diperbuat daripada kulit burung unta yang jarang ditemui, beg tangan ini memancarkan aura kemewahan yang sukar ditandingi. Reka bentuknya yang kompak dan elegan menjadikannya aksesori ideal untuk pelbagai acara istimewa mahapun penampilan sehari-hari. Fazura pernah menggayakan Hermés Constance 18 Ostrich semasa bercuti santainya di London.
5. Hermés Constance 18 Doblis Suede
Satu lagi item istimewa dalam koleksi Fazura adalah, Hermés Constance 18 Doblis Suede yang diperbuat daripada material suede yang lembut, beg ini memberikan sentuhan feminin pada gaya. Reka bentuknya yang minimalis namun versatil menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mencari tas tangan yang mudah digayakan dengan pelbagai gaya. Fazura menunjukkan keberanian fesyennya dengan menggayakan beg tangan ini dalam warna hijau yang jarang ditemui, menjadikannya tambahan yang berani, benar-benar ikon fesyen!
Artikel Berkaitan: Tas Tangan Hangat Musim Luruh