Oleh : Farhana Fuad
Gambar : Instagram Azwan Kombos
Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah telah selamat diijab kabulkan dengan sekali lafaz pada Sabtu lalu (16 Julai) di kediaman keluarga Ezzaty iaitu di Bentong, Pahang pada jam 11.30pagi.
Pasangan selebriti ini dinikahkan sendiri oleh bapa Ezzaty, Abdullah Mat Isa dan disaksikan oleh Jurunikah Daerah Bentong, Mohd Rasmawi Harun. Azwan memberikan mas kahwin berjumlah RM22.50, namun jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.
Azwan turut menghadiahkan lima dulang hantaran kepada Ezzaty, dan dibalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan. Majlis pernikahan mereka dihadiri oleh kedua-dua pihak keluarga dan rakan terdekat pasangan. Majlis persandingan turut diadakan sejurus majlis akad nikah Azwan dan Ezzaty.
Sehari kemudian (17 Julai) berlangsung pula majlis resepsi bagi pihak lelaki di Dewan Melor yang terletak di Bandar Baru Bangi. Azwan dan Ezzaty tampil sedondon biru berenda merah jambu pastel serta dekorasi bertemakan dalam taman menghiasi dewan tersebut.
EH! ucapkan tahniah buat Azwan Kombos dan Ezzaty Abdullah. Semoga bahagia dalam melayari bahtera perkahwinan dan kekal bersama selamanya.
Jom lihat gambar-gambar sekitar majlis pernikahan dua merpati sejoli ini di bawah.