Satu kemenangan besar buat peminat BIGBANG, selepas lebih satu dekad menyepi, T.O.P kembali menggegarkan dunia muzik dengan kemunculan semula yang ditunggu-tunggu.
Dilancarkan pada 3 April, Another Dimension bukan sekadar album, tetapi sebuah deklarasi peribadi. Menjadikan ianya sebagai simbol kelahiran semula T.O.P sebagai artis bebas, jauh daripada bayangan masa lalunya bersama BIGBANG. “Album ini adalah mengenai mengatur diri saya yang lalu dan menyeberang ke lembaran baru sepenuhnya,” jelasnya , satu pengakuan jujur yang menjadi nadi kepada keseluruhan karya ini.

Memuatkan 11 buah lagu, album ini terasa lebih intim dan bermakna kerana setiap satunya ditulis dan dikarang sepenuhnya oleh T.O.P sendiri. Tidak lagi berselindung di sebalik metafora samar, Another Dimension tampil dengan naratif yang lebih langsung dan berani dimana beliau menyentuh isu peribadi, tekanan media, serta perjalanan emosi yang penuh luka, pemulihan dan ketahanan sebagai seorang artis.
Antara lagu yang mencuri perhatian termasuk “Desperado”, salah satu lagu utama berganda yang menyelami sisi cinta dengan intensiti emosi yang mendalam, seperti dilaporkan The Korea Herald.
Sementara itu, “Studio54” atau “Totally Crazy!” membawa nuansa muzik house dengan sentuhan hip-hop era 1980-an yang sangat menghidupkan suasana, malah video muziknya turut menampilkan kemunculan istimewa Nana daripada After School, menambahkan lagi aura ikonik pada visual lagu tersebut.
Lagu pembukaan, “Self Crucifixion” pula, dilihat sebagai refleksi paling telus terhadap masa lalu T.O.P dengan menyentuh kontroversi dan penelitian media secara terus tanpa tapisan.
Tidak ketinggalan, trek “Untuk Peminat” hadir sebagai dedikasi khas buat mereka yang setia menunggu, menjadikan album ini lebih dekat di hati pendengar.
Bukan itu sahaja, elemen visual album ini juga mencuri perhatian apabila versi fizikal CD direka unik menyerupai bentuk bola mata, satu simbolik artistik yang seakan mencerminkan tema pemerhatian, penilaian dan “dilihat” yang sering menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan kerjaya T.O.P.
Menariknya, selain bertindak sebagai pencipta utama, T.O.P juga mengambil peranan sebagai pengarah dan penerbit eksekutif, membuktikan kawalan kreatif sepenuhnya terhadap hala tuju muziknya. Dengan kolaborasi bersama barisan pemuzik dan pakar industri global, Another Dimension bukan sahaja memperlihatkan evolusi artistiknya, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai figura yang berani mendefinisikan semula identiti seni.
Yang menjadikan momen ini lebih menyentuh hati, ahli-ahli BIGBANG turut menunjukkan sokongan mereka terhadap album baharu ini dengan berkongsi Another Dimension di Instagram Story masing-masing, satu tanda solidariti dan persahabatan yang masih utuh meskipun haluan kerjaya kini berbeza.
Kembalinya T.O.P bukan sekadar nostalgia tetapi bagi sesetengah orang, muziknya mengisi rasa rindu yang lama terpendam. Dan dengan Another Dimension, beliau membuktikan bahawa setiap pengakhiran mampu menjadi permulaan yang lebih kuat.
Baca: 2026 Tahun Anne Hathaway? Ini 5 Filem Besar Bakal Ditayangkan







