Sebelum bergelar penyanyi solo, Harry Styles membina nama sebagai salah seorang ahli kumpulan popular, One Direction.
Kumpulan ini meraih pencapaian hebat, menjual berjuta-juta rekod di seluruh dunia, dan berjaya mencatat empat album nombor satu dalam hanya beberapa tahun. Malangnya One Direction dibubar pada 2016 dan ahlinya bergerak solo untuk projek individu buat sementara waktu, termasuk Styles.
Sejak memulakan kerjaya solo, dia telah melancarkan dua album yang mendapat sambutan hangat, melakukan jelajah kembara serata dunia, berlakon dalam filem yang memenangi anugerah Oscar, juga menjadi pengacara bersama untuk Met Gala 2019.
Berikut antara perkara yang mungkin anda tidak pernah tahu mengenai Styles.
Pada usia 16 tahun, Styles menyanyikan lagu Stevie Wonder dalam uji bakat The X Factor.
Hadir menyarung kardigan dan skarf di leher, dia memilih lagu Isn’t She Lovely. Walaupun berjaya ke beberapa pusingan sebagai penyanyi solo, Styles disingkir daripada pertandingan. Tidak lama selepas itu dia ditawar menjadi sebahagian daripada kumpulan remaja lelaki (Zayn Malik, Louis Tomlinson, Niall Horan dan Liam Payne) yang kemudiannya diberi nama One Direction. Styles mengakui nama kumpulan tersebut merupakan ideanya sendiri.
Styles membesar di Chapel, England dan mencari duit poket dengan bekerja di kedai roti.
Sewaktu berusia 14 tahun, dia bekerja di kedai roti W Mandeville dengan bayaran sebanyak RM34 untuk satu jam. Bekas majikannya, Simon Wakefield mendedahkan kepada media pada 2013, “Harry merupakan antara pekerja paling sopan yang kami pernah ada.” Penyanyi ini kembali ke kedai tersebut beberapa tahun kemudian untuk penggambaran filem One Direction, This Is Us.
Styles pernah menyertai kumpulan muzik yang dikenali sebagai White Eskimo.
Dia menjadi ahli kumpulan pop-punk tersebut ketika di sekolah tinggi, dan mereka membuat persembahan di beberapa rancangan bakat malah juga di majlis perkahwinan. Walaupun rakan sekumpulan, Will Sweeny memberi sokongan penuh ketika Styles menghadiri uji bakat The X Factor, dia tidak menyangka apa yang bakal berlaku selepas itu.
“Saya ingatkan ia akan menjadi pengalaman baik untuknya. Saya tidak pernah terbayang dia akan meninggalkan kami. Namun, Harry secara rasminya masih ahli kumpulan White Eskimo memandangkan dia tidak pernah mengumumkan pengundurannya,” kata Sweeny kepada Evening News pada 2013.
Shania Twain memberi pengaruh besar dalam hidupnya.
Dalam satu wawancara bersama Entertainment Tonight pada 2017, Styles mendedahkan ikon muzik country, Shania Twain merupakan antara pengaruh terbesar buat dirinya dalam bidang muzik dan fesyen.
Pada 2015, dia memberitahu Entertainment Weekly bahawa ibunya sering memainkan lagu Twain di rumah ketika zaman kanak-kanaknya. Styles menambah, dia juga mendengar dan meminati muzik The Beatles, Elvis Presley, Fleetwood Mac dan Norah Jones sewaktu membesar.
Dia pernah terlibat dalam satu episod rancangan Nickelodeon, iCarly.
Pada 2012, Styles dan ahli kumpulan One Direction lain menjadi bintang undangan dalam rancangan iCarly untuk episod iGo One Direction. Dia memegang watak sebagai diri sendiri dan berpura-pura sakit untuk memancing perhatian Carly, dan di penghujung episod, kumpulan itu mempersembahkan lagu hit, What Makes You Beautiful.
Dia juga muncul dalam filem Christopher Nolan, Dunkirk.
Styles membuat kemunculan pertama di layar perak dalam filem perang, Dunkirk pada 2017. Ia turut dibintangi oleh Fionn Whitehead dan Tom Hardy, serta berjaya membawa pulang tiga anugerah Oscar. Styles memegang watak sebagai askar muda bernama Alex di mana lakonannya mendapat pujian hebat daripada para pengkritik.
Styles bakal memegang peranan besar dalam filem arahan Olvia Wilde.
Tahun lalu, Style dipilih untuk menggantikan pelakon kontroversi, Shia LaBeouf untuk filem terbaharu Wilde, Don’t Worry Darling. Dalam filem tersebut yang kini sedang dalam penggambaran, dia memainkan watak Jack, suami kepada karakter Florence Pugh. Bintang hebat lain seperti Chris Pine dan Nick Kroll juga akan tampil dalam filem itu.
Dia pernah menulis lagu untuk artis popular termasuk Ariana Grande.
Styles menjadi penulis bersama untuk lagu Just a Litte Bit of Your Heart, khas untuk Grande membuat persembahan. Pada 2014, Grande memberitahu MTV bahawa dia menangis kegembiraan apabila mendengar lagu tersebut buat kali pertama. Ia tersenarai dalam album Grande, My Everything. Styles juga menulis lagu balada romantis, Someday bersama Meghan Trainor yang ditampilkan dalam album Michael Buble pada 2016.
Dia mencipta sejarah Vogue.
Tahun lalu, Styles menjadi penghias kulit majalah Vogue edisi Disember dan mencipta sejarah sebagai lelaki pertama yang membuat penampilan solo pada kulit majalah Amerika. Untuk penggambaran tersebut, dia menyarung dress biru muda dipadankan bersama blazer hitam, penampilan yang membuktikan obsesinya pada fesyen. “Bereksprimen dengan pakaian menerbitkan keseronokan yang tidak terhingga,” katanya.
Minatnya dalam bidang fesyen bermula selepas membuat persembahan pertama di sekolah.
Styles mendedahkan kepada Vogue, dia suka bergaya semasa kecil. Dalam persembahan pertamanya di sekolah, dia mendapat watak sebagai Barney, seekor tikus dan menikmati setiap saat menyarung kostum.
“Saya masih kanak-kanak pada waktu itu dan diminta memakai sarung kaki. Saya masih ingat, ia terasa begitu janggal sekali. Dan mungkin dari situlah segalanya bermula!”
Dia mempunyai lebih 40 tatu, termasuk tatu ikan duyung di lengannya.
Menurut Ranker, koleksi tatu di tubuhnya kini melebihi 40. Antara yang jelas kelihatan adalah ikan duyung di lengan kiri, sepasang burung di dada, rama-rama di perut, dan tahun kelahiran ibu bapanya di tulang selangka.
Styles dan Ed Sheeran memiliki tatu sepadan.
Penyanyi Afterglow ini memberitahu MTV pada 2013 bahawa dia dan Styles mempunyai tatu sepadan, serta pernah mencacah tatu di tubuh Styles sebelum ini. Mereka berdua telah mengenali satu sama lain selama bertahun-tahun, malah Sheeran pernah menjadi penulis bersama untuk beberapa lagu hit One Direction termasuk Little Things dan Moments.
Dia mempunyai empat puting payudara.
Sewaktu wawancara bersama Chelsea Handler pada 2017, Styles mengesahkan dia mempunyai empat puting di mana dua lagi adalah puting ekstra.
Dia kini pembaca tegar.
Dalam temu bual bersama Rolling Stone, penyanyi ini mendedahkan bahawa dia meluangkan hari ulang tahun kelahiran ke-25 dengan membaca di sebuah kedai kopi Japan. “Membaca bukanlah kegemaran saya. Saya mudah hilang minat. Namun saya pernah bercinta dengan seseorang yang menghadiahkan saya beberapa buku. Jadi saya berasa seperti terpaksa membacanya kerana dia akan menyangka saya dungu jika tidak berbuat demikian.”
Styles menambah, Norwegian Wood hasil nukilan Haruki Murakami merupakan buku pertama yang mencambah minatnya dalam hobi membaca.
Styles pernah menderma rambut untuk pesakit kanser.
Pada 2016, dia memotong rambut ikoniknya untuk peranan dalam filem Dunkirk dan dilaporkan menderma ‘mahkotanya’ itu kepada Little Princess Trust, badan kebajikan yang membuat rambut palsu untuk kanak-kanak yang menerima rawatan kanser. Berita itu didedahkan oleh badan kebajikan tersebut di Instagram berserta kapsyen, “Terima kasih @harrystyles kerana menderma rambut anda. Ia telah dihantar kepada pengeluar rambut palsu minggu lalu bersama sumbangan rambut yang lain.”
Foto: Tyler Mitchell