![]() |
Bakat sahaja tidak mencukupi. Bakat yang hadir dalam nadi perlu diiringi dengan karisma dan aura yang ‘lantang’. Rupa pula melengkapkan pakej untuk tampil dalam dunia seni dan membuktikan kuasanya untuk mencoret kelainan di hadapan peminat. Itulah yang dicari-cari EH! bagi memperkenalkan 20 Yang Anggun, saban tahun tanpa gagal. |
2011 – siapakah yang terpilih? Ketahui beberapa nama yang menjadi perhatian EH! untuk 20 Yang Anggun. Kenali juga serba sedikit tentang mereka, semuanya ada di laman web www.dev.eh.my!
Usianya masih muda. Baru menjangkau 23 tahun. Namun hidupnya berubah sama sekali selepas terpilih dalam senarai top 5 dalam pertandingan pencarian gadis cantik salah satu majalah tempatan. "Enam bulan lalu menyaksikan perubahan yang drastik. Yang pasti, perjalanan saya masih jauh. Banyak lagi yang perlu dipelajari." Itulah kata-kata gadis bernama Anzalna. Hampir lima tahun menetap di Kanada sebelum menyambung pengajian di Australia, pelbagai pengalaman dilalui selama berada di negara orang. "Saya mahir berbahasa Perancis, suka menyanyi dan tidak akan menolak jika ada tawaran untuk menyanyi lagu berentak R&B, my favourite!" jawabnya ketika ditanya minat dan kelebihan yang dimiliki. |
![]() |
![]() |
Berlainan pula dengan penyanyi dan pelakon yang sinonim dengan gaya diva tersendiri ini. Tidak lokek dengan senyuman, perawan yang dilahirkan pada 16 Ogos tahun 1985 antara mereka yang mempunyai jiwa penghibur yang cukup tebal. Nadia Aqilah, itulah empunya nama yang mula dikenali dengan kumpulannya, Luscious. "Sejak berusia 14 tahun, saya seolah-olah ‘dilatih’ menjadi penyanyi. Sambil berdiri di hadapan cermin, saya membayangkan diri sebagai penyanyi ala diva!" katanya sambil tertawa mengingat kembali memori silam. Biarpun lambat dikenali, dia menganggapnya sebagai satu kelebihan – berpeluang mempelajari dan memperbaiki mutu dan kelemahan. Semuanya demi bersiap untuk menjadi penyanyi dan pelakon yang benar-benar berkualiti. |
Gadis ini pula lain genre dan cita-citanya. Mahir bermain gitar, menyanyi dan menulis lagu…bakat yang dimiliki tidak dipersiakan. Jika sebelum ini dia tampil dengan kumpulan indie, Estrella, kini dia tampil solo. Itulah Liyana Fizi, penyanyi bersuara lembut dalam nada lagu indie disulami irama jazz. Tidak seperti teman seperjuangannya seperti Yuna dan Zee Avi, Liyana mahu kekal menyumbang dan giat dalam persada indie. "Saya hormat mereka yang mensasarkan arus perdana untuk mengetengahkan bakat mereka tetapi saya lebih selesa bermain muzik secara indie. Saya lebih teruja jika mereka sukakan lagu-lagu saya tetapi tertanya-tanya, siapa penyanyinya?" jelasnya sambil menceritakan pengalamannya merakamkan album solo sulungnya di Bandung, Indonesia. |
![]() |
Ikuti artikel penuh EH! yang mengulas album terbaru Liyana di link ini
![]() |
Berbeza dengan gadis ini yang popular dengan sifat lucu dan periangnya, namanya melonjak selepas tayangan filem komedi box office, Adnan Sempit. Berwajah manis, bersikap mesra dan petah berkata-kata – itulah Yana Shamsudin. Memulakan kariernya sebagai krew belakang tabir, Yana bermula dari bawah. "Saya tidak sangka saya akan berlakon. Apatah lagi hendak dikenali orang ramai. Filem Adnan Sempit yang menjadi batu loncatan dalam perjalanan karier pula benar-benar mengejutkan. Barisan pelakon, produksi mahupun Sam sendiri (Shaheizy Sam) tidak menyangka filem itu mendapat sambutan luar biasa," katanya. Paling mengejutkan, pada awalnya Yana merupakan seorang penyanyi dan pernah memiliki album. "Ramai yang tidak tahu saya adalah seorang penyanyi tetapi tuah tidak menyebelahi apabila album tidak mendapat sambutan," sambil tertawa sambil menekup wajahnya tersipu malu. |
Bagaimana pula keadaannya ketika sesi penggambaran 20 Yang Anggun dijalankan? Tentunya penuh glamor, glitz dan segalanya memukau. Klik di sini untuk menyaksikannya!