Lama peminat berteka-teki mengenai status hubungan pelakon Dini Schatzmann dan Janna Nick. Persoalan itu akhirnya terjawab selepas mereka disatukan sebagai suami isteri pada 10 Jun lalu.
Pasangan sama cantik sama padan itu selamat diijabkabulkan tepat jam 8.35 pagi dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Aisyah, Langkawi. Mereka dinikahkan oleh bapa Janna Nick sendiri, Muner Abdullah bersaksikan pengerusi masjid, Haji Othman Yahya dan sepupu pengantin perempuan, Amir Fikri serta Amar Fikri. Dalam masjlis itu, Dini Schatzmann menyerahkan seutas rantai emas dan mas kahwin berjumlah RM2,703, simbolik tarikh perkenalan mereka iaitu pada 27 Mac 2019.
Usai pernikahan, pasangan mempelai diraikan dalam majlis resepsi yang berlangsung di sebuah resort terkemuka di Pantai Cenang. Majlis serba putih mereka diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, rakan selebriti dan sahabat rapat. Antara yang hadir memeriahkan hari bahagia pasangan itu termasuk Ain Edruce, Puteri Sarah Liyana, Izzue Islam, Nora Danish, Elfira Loy, Nabila Razali dan aktor Indonesia, Baim Wong.