Sebuah video yang memaparkan aksi Jungkook BTS sedang merakam lagu di studio Los Angeles baru-baru ini mencuri perhatian ramai.
Bersama-sama video itu disertakan beberapa keping foto yang dikongsi oleh penerbit Scott ‘Scooter’ Braun di Instagram. Dalam foto tersebut, kelibat Jungkook dirakam bersama beberapa lagi penerbit muzik iaitu Andrew Watt, Cirkut dan Jon Bellion. Tidak lupa pengasas dan pemilik Hybe serta Big Hit Music yang menaungi BTS, Bang Si Hyuk atau lebih dikenali sebagai Hitman Bang.
Dalam foto itu, dia kelihatan bersahaja dalam kemeja-T putih, jaket denim dan celana kelabu yang dipadankan bersama sniker putih. “Menyaksikan penciptaan sejarah sentiasa menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Inilah detiknya. Satu momen yang BESAR,” tulis Scott di ruangan kapsyen berserta tanda pagar #JK, #hybe, #teamworkmakesthedreamwork.
Andrew Watt terkenal dengan kerjasamanya bersama Justin Bieber termasuk lagu penyanyi itu yang menerima pencalonan Grammy pada 2021, Peaches. Ini sekali gus mengundang andaian peminat bahawa impian mereka untuk melihat kolaborasi Jungkook dan Justin Bieber bakal menjadi kenyataan. Spekulasi itu diperkuatkan lagi apabila melihat persamaan antara studio yang digunakan kedua-dua penyanyi itu.