Sydney Sweeney merupakan antara bakat muda paling menjadi rebutan di Hollywood sekarang ini.
Selepas meraih populariti menerusi rancangan HBO, Euphoria, dia kini semakin sibuk dengan beberapa projek terbaru. Tahun lalu tular berita yang mengatakan pelakon berusia 26 tahun itu bakal menggalas peranan utama dalam filem Marvel Studios, Madame Web. Malah Sydney Sweeney turut mengumumkan bahawa dia akan menyertai dunia adi wira yang turut melibatkan trilogi Spider-Man lakonan Tom Holland dan filem Venom. Selepas setahun menunggu, watak yang bakal disandangnya dalam filem Madame Web akhirnya didedahkan.
Menurut The Direct, Sydney Sweeney bakal melakonkan karakter Julia Carpenter iaitu Spider-Woman kedua. Dia akan menyertai barisan pelakon berbakat besar lain seperti Dakota Johnson sebagai Madame Web, Isabela Merced sebagai Anya Corazon dan Celeste O’Connor sebagai Mattie Franklin. Aktor Perancis, Tahar Rahim bakal memainkan watak penjahat Ezekiel Sims.
“Saya tidak sabar mahu bekerjasama dengan wanita-wanita ini – Dakota, Isabela dan Celeste. Dan saya sangat teruja kerana ia akan menjadi kuasa besar wanita untuk ditonton oleh seluruh dunia,” kata aktres itu.