Tahun ini, rakyat Pahang sekali lagi akan dihidangkan dengan sebuah perkahwinan Di-Raja yang penuh gemilang, selepas berlangsungnya pernikahan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, kini giliran YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad bersama wanita pilihan hatinya, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, pada Oktober ini.
Kisah perkahwinan Di-Raja sentiasa menjadi tumpuan ramai, dan kali ini giliran Kerabat Di-Raja Pahang, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad yang bakal melangsungkan perkahwinan bersama wanita pilihannya, Tengku Natasya Puteri, anak kepada Datuk Seri Utama Tengku Adnan bin Tengku Mansor, atau lebih dikenali sebagai Ku Nan, ahli politik dan Ahli Parlimen Putrajaya yang memegang jawatan penting dalam UMNO dan Barisan Nasional. Kejayaan beliau dalam politik dan perniagaan telah meletakkan keluarga ini di kalangan elit Malaysia.
Baru-baru ini, melalui laman Instagram rasmi Kesultanan Pahang, telah dikongsikan detik istimewa Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan buat Tengku Natasya pada 5 Oktober 2024. Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Kehadiran baginda di majlis tersebut menambah seri dan kemuliaan acara, menjadikan ia salah satu persiapan yang penuh bermakna sebelum perkahwinan Diraja ini.
Pada majlis tersebut, Tengku Natasya tampil menawan dalam persalinan berona dusty pink, lengkap dengan selendang yang dipadankan indah, menyerlahkan lagi kecantikannya. Majlis yang diadakan di Taman Duta itu turut dihadiri oleh puteri-puteri Di-Raja Pahang, YAM Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidztullah, YAM Tengku Puteri Illisha Ameera, YAM Tengku Puteri Illyana, serta YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan.
Adik kepada Tengku Natasya, iaitu Tengku Nadira Adnan, turut mencuri tumpuan ramai. Tengku Nadira yang juga merupakan penyanyi dan pelakon popular di Indonesia, sering menjadi perhatian dengan gaya hidup glamornya. Malah, Tengku Nadira juga dikenali kerana persahabatan eratnya dengan Al Ghazali, anak kepada legenda muzik Indonesia, Ahmad Dhani. Di majlis Khatam Al-Quran tersebut, Tengku Nadira turut berkongsi gambar bersama kakaknya di Instagram, di mana dia tampil anggun dan sederhana dalam busana berwarna beige
Mengikut laporan terkini, istiadat perkahwinan Di-Raja ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 24, 25, dan 27 Oktober 2024 di Istana Abdul aziz, Kuantan, Pahang. Dengan penyatuan dua keluarga besar ini, istiadat perkahwinan Tengku Muhammad dan Tengku Natasya pastinya akan menjadi salah satu acara terpenting tahun ini. yang dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.
Artikel Berkaitan: Kenali Putera Dan Puteri Kerabat Diraja Pahang