Burberry Beauty menyajikan barisan gincu ikoniknya, Burberry Kisses namun kali ini dihidangkan dalam tekstur kegemaran ramai, pusam.
Gincu pusam sejak dulu lagi menjadi kegemaran ramai wanita kerana teksturnya yang ‘padat’, warnanya yang lebih jelas pekat dan paling penting tidak mudah comot serta tahan lama. Tambah pula dalam keadaan pandemik yang memerlukan kita memakai topeng pelitup muka, jadi gincu pusam adalah solusi terbaik bagi wanita yang masih mahu meraikan bibir mereka dengan calitan rona-rona kegemaran.
Burberry melihat kemunculan semula gincu pusam ini adalah untuk meraikan kemasan yang disifatkan malar segar, satu tekstur yang akan terus menjadi kesukaan mana-mana wanita. Paling penting biarpun bertekstur pusam ia tidak mengeringkan bibir seperti sesetengah gincu yang membuatkan bibir kering berkuping-kuping.
Burberry Kisses tampil dengan formula tahan lama dan punya pigmen mewah yang memberi satu salutan warna yang menawan dengan hanya satu luncuran. Ia juga dikayakan dengan asid hyaluronic yang bertindak untuk memastikan bibir dalam keadaan lembap hampir 24 jam, dan warna gincunya bertahan sekitar lapan jam. Ia juga mempunyai bau bunga ros yang membuatkan pengalaman menyapu gincu lebih menyeronokan. Burberry Kisses boleh dimiliki pada harga RM143 sebatang.
EMPAT WARNA PILIHAN EH!
Burberry Kisses tampil dengan 20 warna yang dibekaskan dalam bekas berwarna emas dengan kemasan magnet. EH! memilih lima warna yang dijadikan bintang utama kepada koleksi ini.
Matte The Red No. 106
Warna merah menyala, menyuntik imej klasik malar segar dan dalam masa yang sama satu calitan buat anda yang berani. Be bold!
Matte Russet No. 93
Ini adalah warna yang menajdi buruan peminat Burberry Beauty. Warna campuran coklat-merah ini diinspirasikan daripada warna kulit yang dijadikan beg dan kasut. Warnanya yang versatile, sesuai dengan semua ton kulit menjadikan gincu ini laris.
Matte Soft Pink No. 12
Bagi yang sukakan warna yang lebih feminin, nampak semula jadi, Soft Pink ini sesuai sangat dengan anda. Berinspirasikan warna bunga mawar, warna ini sesuai untuk calitan hari-hari.
Matte Burgundy No. 102
Secara peribadi saya sukakanw arna ini, kerana ia membias imej mewah dan ‘sombong’. Warnanya pada saya bersifat misteri. Menurut Burberry ilham warna gincu ini datang dari himpunan beg tangannya, Olympia Bag.