Selepas tujuh tahun duduk di kerusi pengarah artistik Dior Men, Kim Jones mengucapkan selamat tinggal kepada rumah fesyen Paris, Dior.
Pereka fesyen kelahiran Britain yang berusia 51 tahun itu baru saja menyempurnakan pementasan koleksi musim luruh/dingin Dior Men beberapa sebelum pengumuman tersebut. Khabar angin mengatakan pengarah kreatif Loewe, Jonatahn Anderson bakal mengambil tempat namun belum ada sebarang kesahihan.
Kim Jones dalam satu kenyataan mengatakan peluang menghasilkan koleksi buat Dior Men adalah satu penghormatan besar dalam kerjayanya. Dan dia sangat beterima kasih akan pekerja di studionya, artisan dan teman-teman yang dikenalinya sepanjang memegang peranan sebagai pereka artistik Dior Men. “Saya juga bersyukur atas sokongan dan dorongan dari Delphine dan Bernard Arnault.
Ketua pegawai eksekutif Dior, Derlphine Arnault berkata, “Saya sangat berterima kasih atas hasil kerja Kim Jones yang cemerlang, bersama tenaga kerjanya. Dengan bakat dan kreativitinya, dia terus menginterpretasi warisan Dior dalam ilham yang bebas dan sering saja mendapat perhatian jenama lain untuk kolaborasi.”
Kim Jones adalah graduan kelahiran Central Saint Martins, dan bermula dengan jenama yang diasaskan sendiri sebelum dilamar menjadi pereka jenama fesyen Alfred Dunhill. Selepas menyertai jenama agung Britain itu, Kim Jones nekad menutup jenamanya.
Selepas itu, pada tahun 2011 Kim Jones dilantik sebagai pengarah stail di Louis Vuitton bagi koleksi lelaki, dan dia bertahan di rumah fesyen itu sehingga 2018. Kim Jones berhijrah ke Dior Men pada tahun 2018, menggantikan kerusi kreatif yang diduduki oleh pereka kelahiran Belgium, Kris Van Assche.
Ke mana Kim Jones akan pergi selepas meninggalkan Dior Men? Semuanya terus menjadi tanda tanya.