Syed Saddiq melamar Bella Astillah di puncak Gunung Kinabalu, Sabah.
Selepas sekian lama menjadi teka-teki dan perhatian umum, kisah cinta antara Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah akhirnya memasuki fasa baharu yang lebih serius dimana pasangan ini kini sah bertunang pada 28 Mac 2026, sekali gus mengesahkan segala spekulasi yang berlegar sebelum ini.
Kini, segalanya terjawab, #BellaSyedYes, tahniah buat Bella Astillah dan Syed Saddiq.
Namun, apa yang benar-benar mencuri perhatian bukan sekadar berita pertunangan mereka tetapi cara lamaran itu sendiri.
Menurut perkongsian yang dimuat naik oleh Syed Saddiq di media sosial, detik lamaran berlaku dalam suasana luar biasa romantis di puncak Gunung Kinabalu, Sabah.

Dalam momen yang cukup intim dan bermakna itu, beliau dilihat menyerahkan cincin kepada Bella ketika mereka menyertai misi pendakian bersama sebelum ini.
Dengan kata-kata ringkas namun penuh emosi, Syed Saddiq mengungkapkan: “Saya melamar, dia kata ya. Ini bukan pengakhiran cerita, ini permulaan.”
Permulaan #BellaSyedYes
Kini, dengan satu langkah rasmi ke hadapan, pasangan yang sering digelar “BASS” oleh peminat ini membuka lembaran baharu dalam hidup mereka.

Mencuit hati, Syed Abdullah bongkar rahsia Syed Saddiq
Abang kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu Syed Abdullah Syed Abdul Rahman yang juga dikenali sebagai Space Dollah, tidak dapat menyembunyikan rasa sebak dan gembira melihat adiknya melangkah ke fasa baharu kehidupan.
Menurutnya, detik tersebut membawa makna yang cukup mendalam selepas lebih tiga dekad mengenali Syed Saddiq. “Saya kenal Saddiq selama 33 tahun, dan beberapa bulan lalu adalah kali pertama saya melihatnya dan dia berkata, ‘I love you’. Jadi saya sangat gembira untuk melihat Saddiq akhirnya tying the knots,” ujarnya ketika ditemui di majlis pertunangan tersebut.
Didi Astillah penat simpan rahsia
Keterujaan yang sama turut dikongsi oleh adik kepada Bella Astillah, iaitu Didi Astillah yang selama ini menjadi antara individu paling dekat dengan perjalanan hubungan pasangan ini.
Mengakui sudah lama menyimpan rahsia, Didi secara berseloroh meluahkan rasa “lega” apabila akhirnya tidak perlu lagi berhati-hati dalam setiap kata. “Penat simpan rahsia. Gembira akhirnya boleh beritahu yang mereka memang sedang bercinta. Selama ini saya menjaga tutur kata takut terlepas,” katanya ketika ditemu bual dalam sebuah program radio.




