Santai dan bersahaja namun menang gaya! Mimi Lana menggayakan helaian dan aksesori Longchamp musim panas 2026 yang menyuntik gaya santai ala Parisian.
Bunyi pukulan ombak nan sayup-sayup dari kejauhan bagaikan memanggil-manggil. Tambahan dengan cahaya matahari yang terang-benderang diiringi langit nan membiru. Mood musim panas makin membara, santai-santai di persisir pantai ditemani segelas jus, senaskhah buku… dan kaca mata hitam buat pelindung mata. Suasana di pantai penuh kedamaian dan ketenangan, itu mungkin bayangan Longchamp untuk himpunan musim panasnya tahun ini. Jenama dari Paris ini mahu rasa bebas, gembira dan energi diraikan sepenuhnya musim ini.
‘Catch the Parisian Wave’ membawa vibe helaian cuaca panas yang paling on-point. Santai, bersahaja, dan selesa—koleksi ini menggabungkan siluet elegan dengan fungsi sporty: shirt-dress ringan, skirt beralun dan kemeja minimal. Palet warna pula bermain dengan tona pastel biru, oren, merah jambu dan merah, sering hadir dalam motif jalur halus atau tie-dye yang cukup meriah.
KEMUNCULAN LOOONG!
Beg bahu Looong mungkin menjadi tas tangan terbaru kesukaan Mimi Lana. Beg tangan ini hadir dengan saiz yang lebar menjadikan ia sangat praktikal namun masih menang gaya. Ia menyerlahkan kemahiran pertukangan kulit Longchamp—direka menyerupai lengkungan pelana kuda menggunakan kulit lembu yang lembut, membentuk siluet memanjang yang sleek. Talinya juga boleh dilaras, sama ada disarung di bahu atau dibawa dengan tangan. Kedua-dua beg ini dilengkapkan dengan kemasan logam rona emas pucat yang berkilau lembut di bawah sinaran matahari.
Le Smart, dengan rekaan mirip beg bucket yang versatil, dilengkapi tali yang boleh dilaras untuk pelbagai gaya. Lama-kelamaan, kulitnya akan membentuk patina semula jadi, menjadikan setiap beg unik dengan karakter tersendiri.

Le Roseau Tote Bag dengan signature toggle kayu pucat adalah pilihan chic untuk menemani musim panas. Beg ini bagaikan beg basahan tahan lasak yang anda mahu bawa ke mana-mana sahaja, tambahan dengan ruang dalamnya yang luas memberi markah ekstra memilikinya.
Aura bersahaja ternyata terserlah menerusi rekaan beg-beg ikonik Longchamp, beg-beg ini bukan saja stylish, tapi juga luas—perfect companion untuk ke mana saja.
Apa yang dapat disimpulkan tentang bayangan saya bila melihat satu persatu helaian yang Mimi Lana gayakan, Longchamp benar-benar mahu penggayanya berekspresif dalam apa jua situasi, mereka mahu hidup ini diraikan dengan keselesaan dan keceriaan. Sebab itulah pantai menjadi pilihan kerana di situ kita berasa bebas berlari-lari, bermain pasir atau sekadar hanya berbaring melayan bunyian ombak dan deruan angin.






