Setiap perincian kecil mampu memberi impak besar pada hasil akhir solekan.
Hari ini, beauty blender hadir dalam pelbagai bentuk, potongan dan saiz yang direka khusus mengikut fungsi tertentu.

Jika formula bedak asas dianggap nadi kepada base makeup yang sempurna, span solekan pula ialah senjata rahsia di sebaliknya.
Jom ketahui beauty blender dan fungsinya:

1. Bentuk Titisan Air
Rekaan paling popular dan versatil ini menjadi pilihan ramai kerana mampu digunakan untuk hampir semua langkah asas solekan. Bahagian bawah yang bulat sesuai untuk meratakan bedak asas pada kawasan luas seperti pipi dan dahi, manakala hujung runcing memudahkan aplikasi concealer di bawah mata serta sekitar hidung.

2. Potongan Rata
Span dengan satu bahagian rata ini sangat efektif untuk teknik contouring dan baking. Permukaan rata membantu menekan loose powder dengan lebih kemas pada bawah mata atau garis rahang, selain memudahkan sapuan produk krim contour agar lebih tajam dan terdefinisi.

3. Mini
Saiz kecil menjadikannya alat penting untuk kawasan wajah yang sukar dicapai. Ia sesuai digunakan pada sudut mata, tepi hidung, sekitar bibir atau menutup cela kecil dengan concealer. Walaupun kecil, hasilnya sangat tepat dan kemas, terutama bagi mereka yang gemarkan perincian sempurna.

4. Berbentuk Serong
Rekaan serong memberikan kawalan yang lebih baik. Ia memudahkan aplikasi bronzer, blusher krim atau contour pada tulang pipi dan sisi rahang. Bentuk ini membantu menghasilkan dimensi wajah yang lebih semula jadi tanpa garis kasar.

5. Bertekstur Baldu / Microfiber
Jenis ini mempunyai lapisan halus seperti baldu yang mampu menyerap kurang produk berbanding span biasa. Ia sangat sesuai untuk foundation cair atau krim kerana memberi litupan lebih tinggi dan menjadikan penggunaan produk lebih menjimatkan. Hasil solekan juga tampak lebih penuh dan licin!

6. Silikon
Gabungan span dan silikon ini semakin popular kerana lebih mudah dibersihkan dan kurang menyerap produk. Sesuai untuk mereka yang mahu penggunaan foundation lebih minimum serta mementingkan kebersihan alat solek. Namun, ia memerlukan teknik blending yang sedikit berbeza untuk kemasan terbaik.

7. Berbentuk Hourglass
Rekaan berlekuk di tengah memberi cengkaman lebih selesa ketika digunakan. Bentuk ini membantu kawalan tangan yang lebih stabil ketika blending foundation atau concealer. Sangat sesuai untuk pemula yang masih belajar teknik aplikasi solekan dengan lebih mudah.
