Cahaya terang, susun atur yang praktikal membuatkan tata gaya butik terbaru Longchamp bagai mengalu-alukan kedatang sejurus langkah pertama menjejaki butik berwajah baru ini.
Gaya interior apartment Paris menjadi inspirasi perdana bagi butik terbaru Longchamp di Pavilion Kuala Lumpur. Berpindah ke unit baharu 127.16 meter persegi di aras tiga, jiwa butik ini hadir lebih terang dengan suntikan elemen apartment, membuatkan suasana sekitarnya lebih ‘homie’. Sebagai sebuah jenama yang diasaskan di paris pada 1948, pastinya Longchamp mahu menghembus roh kota fesyen itu pada tata gaya butiknya sendiri.
Sebaik pintu butik dibuka anda akan terlihat meja tinggi yang menjadi cerminan sebagai ‘workshop table’, dan di sini biasanya akan diletakkan tas-tas tangan dari musim terbaru sebagai bintang utama. Aksesori lain juga biasanya dipertontonkan di sini berserta item dekorasi lain seperti buku mahupun jambangan bunga.
Apalah erti sebuah rumah mahupun apartment jika tiada sofa, tidak sempurna rasanya. Di tengah-tengah butik ini diletakkan sofa hijau gelap juga kerusi bersuntik imej vintaj. Dan di belakang sofa, jarak beberapa langkah terbina gah rak yang menayangkan koleksi ikonik Longchamp, iaitu Le Pliage. Rak ini dianggap bagaikan perpustakaan yang memaparkan pelbagai saiz Le Pliage yang datang dalam pelbagai warna dan corak. Objek-objek kecil seperti mangkuk dan dulang mendapat sentuhan pereka Perancis, Philippe Model yang datang dalam warna pilihan pengarah kreatif Longchamp sendiri, Sophie Delafontaine menghiasi rak dan meja di butik ini.
Di hari pembukaan rasmi butik terbaru ini, satu acara kecil diadakan dan dihadiri oleh media juga peppengaruh media sosial dan selebriti seperti Daiyan Trisha, Azira Shafinaz, yaya Zahir, Shalma Ainaa, Sharifah Rose dan ramai lagi.
Trivia Tentang Longchamp Le Pliage
1- Le Pliage membawa maksud ‘lipat’ dalam bahasa Perancis dan ini merujuk kepada rekaan beg ini yang boleh dilipat-lipat.
2- Le Pliage direka oleh anak pengasas Longchamp sendiri iaitu Philippe Cassegrain. Inspirasi di sebalik rekaan beg ini ialah seni origami Jepun, dan ini diplejari Philippe sendiri sewaktu kembaranya ke negara matahari terbit itu.
3- Demi memastikan beg ini ringan dan juga praktikal dibawa ke mana-mana, Phillipe mengambil keputusan untuk menggabungkan kulit Russia bersama nilon untuk bahagian badan beg ini.
4- Le Pliage dilancarkan pada tahun 1993 dan menurut Philippe beg ini hanya menjadi popular tiga tahun selepas diperkenalkan.
5- Kate Middleton, Miley Cyrus, Katie Holmes, Amy Adams dan Alexa Chung antara figura tersohor yang menyukai Le Pliage.
BACA: Ketahu Lebih Tentang Le Pliage di SINI!