Lembut dan romantik, itu yang boleh saya simpulkan apabila melihat koleksi istimewa menjelang musim cuti hujung tahun ini dari Dior Backstage, semuanya berbiasan warna ungu.
Dior Backstage, himpunan alat solek dari Dior Beauty yang secara peribadinya boleh saya katakan sebagai rangkaian yang disenangi ramai jurusolek selebriti. Palet empat ton yang sering dilayangkan sebagai highlighter mahupun kontur antara palet mesti ada dalam kita solekan mereka. Dan bila jurusolek ‘approved’ maknanya anda juga patut ada.
Holiday 2024 menyaksikan Peter Philips selaku pengarah kreatif dan imej Dior Makeup menhidangkan barisan warna yang cukup romantik dan lembut pada dua palet Dior Backstage. Dia yang memang pakar bermain dengan warna memadatkan koleksi ini dengan pilihan warna ungu yang pada tanggapannya universal, yang sesuai dengan semua ton kulit.
“Himpunan Dior Cakstage Holiday adalah refleksi daripada gemerlapan alam sepanjang malam musim percutian. Komposisi yang menggabungkan warna merah jambu, violet dan perak serta diseimbangkan dengan ton pic dan warna-warna tanah.
TIGA BINTANG DIOR BACKSTAGE
Tiga produk melengkapkan koleksi terhad ini iaitu Dior Backstage Glow Face Palette, Dior Backstage Eye Palette and Dior Addict Lip Maximizer. Glow Face Palette (RM240), palet empat warna yang boleh dilayangkan sebagai penyeri kompleksi kulit; sebagai highlighter, dilayang pada tulang pipi, atas kening, batang hidung serta hujung dagu.
Dior Backstage Eye Palette (RM255) dihiasi sembilan warna pembayang mata tahan lama dan tampil dalam ton ungu yang bervariasi. Ia lengkap dengan kemasan yang pelbagai menjadikan palet mata ini lengkap, cukup satu untuk stail solekan yang pelbagai. Ton sejuk dan panas disatukan dalam satu palet.
Dior Addict Lip Maximizer wajib ada kerana secara peribadinya saya sukakan penghidratannya pada bibir selain membuatkan bibir tampak penuh mungil. Untuk koleksi Holiday 2024, Dior sajikan 072 Celestial Purple (RM175), warna ungu lut sinar yang memberi efek bibir sihat dan berkilau dalam stail cukup bersahaja.
Koleksi Dior Backstage Holiday 2024 ini sudah boleh dimiliki di butik kecantikan Dior mahupun secara dalam talian di pautan INI!